Saturday, April 16, 2016

untuk perniagaan berjaya

Berapa banyak perkara yang mesti ada untuk pastikan diri jadi usahawan yang berjaya dan seterusnya membina perniagaan berjaya?
Apa yang mesti diketahui dan amalkan atau dilakukan untuk jadikan perniagaan berjaya?
Bolehkah aku berjaya dengan apa yang telah dilakukan selama ini?
Bagaimana orang lain buat sehingga membolehkan mereka membina satu perniagaan berjaya?
Semua soalan di atas jika sering menghantui kepala anda yang sedang bertungkus lumus menjalankan perniagaan…
atau buat anda yang sedang merangka mempersiapkan diri untuk berniaga maupun baru mula berniaga….
ketahuilah bahawa ianya merupakan satu petanda yang cukup baik!.

Yakin berjaya tak cukup power untuk jadikan perniagaan berjaya

Banyak kita baca dan dengar daripada individu yang memberikan motivasi pada orang ramai bahawa untuk berjaya kita mesti yakin dengan kuat untuk berjaya. Itu juga yang saya sering katakan pada kawan-kawan selama ini.
Namun sebenarnya kajian menunjukkan bahawa keyakinan atau bisikan-bisikan ransangan pada diri sendiri seperti ‘aku yakin mampu lakukannya’ sebenarnya tidak cukup menjadikan peratusan kejayaan meningkat tinggi.
Sebaliknya, orang yang bertanya solan pada dirinya seperti ‘mampukah aku berjaya kali ini?’, di dapati mempunyai kadar kejayaan yang jauh lebih tinggi daripada orang yang buat kenyataan dalam minda seperti, ‘aku yakin akan berjaya!’.
Anda boleh rujuk penerangan terhadap kajian yang saya nyatakan di atas dalam buku, ‘To Sell is Human’.
Oleh sebab itulah saya nyatakan pada permulaan tadi bahawa jika seorang usahawan sering bertanya pada dirinya soalan keramat…
“Bolehkah aku berjaya setelah apa yang aku lakukan untuk perniagaan ini…?”
…insyallah akan jauh lebih berjaya daripada mereka yang buat ayat, “aku yakin akan berjaya?”.

Khas buat yang bertanya apakah boleh perniagaan berjaya?

Banyak perkara yang bakal menentukan samada kita mampu membina perniagaan berjaya atau tidak. Salah satu perkara penting dan tidak ada pengecualian adalah ilmu terhadap apayang diperniagakan. Juga ilmu tentang perniagaan itu sendiri.
Namun begitu, bab ilmu ini sebenarnya tidak akan habis-habis. Anda boleh bermula dengan zero dan terjun berniaga untuk mendapatkan ilmu dari kesilapan dan bertanya.
Anda juga boleh belajar dulu dengan mendalam sebelum memulakan perniagaan dan apabila mula berniaga, anda tetap perlukan ilmu lagi sampai bila-bila sehinggalah nyawa diragut daripada jasad.
Apa yang nak saya kongsikan di sini adalah 3 perkara yang tiada pilihan untuk anda elakkan diri selain daripada melaksanakannya sebaik mungkin untuk menjamin kejayaan perniagaan anda.

3 perkara penting untuk perniagaan berjaya adalah:

  1. Tunaikan solat 5 waktu dan juga semua ibadah wajib lain serta tinggalkan perkara haram. Jika ini tidak dilakukan oleh para usahawan, segala usaha maupun kejayaan anda termasuklah wang ringgit dan segala kemewahan lain adalah sia-sia dan hanya jadi bahan api neraka untuk membakar anda sendiri.
  2. Berbuat baik pada ibu dan bapa dan hulurkan bantuan wang dan juga tenaga bagi menyara keperluan hidup mereka. Berbuatlah sebaik mungkin untuk menyejukkan hati mereka dan mendamaikan mata mereka yang redup.
    • Contoh paling mudah adalah dengan pastikan anda merenung wajah mereka setiap hari jika berdekatan dan sekurang-kurangnya sebulan sekali jika berjauhan. Berikan wang walaupun mereka dah ada cukup wang. Layan makan minum mereka dan layan perbualan mereka sebaik mungkin.
    • Anda boleh baca biography Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk tahu bagaimana dia layan ibunya.
  3. Tunaikan solat Duha setiap pagi di waktu Duha. Jadikan amalan solat Duha ini rutin anda sebaik sahaja mula berniaga atau sebaik sahaja bernekad untuk jadi usahawan. Hafal doa solat duha dan fahami maksudnya.
Demikianlah 3 perkara yang mesti anda lakukan. Jika selama ini perniagaan anda hanya cukup makan saja kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, sila semka 3 perkara di atas di samping menuntul ilmu perniagaan anda.
Nasihat daripada seorang kawan Cina dalam mengejar sasaran perniagaan berjaya
Teringat saya pada nasihat seorang kawan yang merupakan seorang jutawan berbangsa Cina. Dia sudah tua dan menghadapi masalah serangan strok yang menyebabkan sebelah badannya lumpuh.
Dia sering mengajak saya minum setiap minggu pada waktu awal saya mula berniaga dahulu. Pada hari yang dijanjikan drebarnya akan menghantarnya kepada saya dan saya akan membawanya pergi minum kopi dan bersarapan pagi.
Dia suka berbual dan berbincang dengan saya dan katanya dia suka melihat cara saya berniaga dan memuji sikap bersederhana yang saya amalkan.
Ada sekali dia bertanya pada saya samada ibu masih hidup di kampung dan saya menjawab ‘ya’. Lalu diberikan nasihat agar saya jaga ibu dengan baik dan jangan sesekali mengabaikannya.
Sambil mengalirkan air mata, dia berkata, “jika ibu saya masih hidup, saya akan pastikan setiap hari minggu untuk memandu dari KL ke Johor semata-mata hanya untuk melihat muka ibu saya….”
Tapi semuanya sudah terlambat, harapan tinggal harapan kerana ibunya meninggal ketika dia tidak pernah ada masa untuk ibunya yang sudah tua. Kesibukannya mengejar wang membuatkan wang menjadi lebih penting daripada ibunya. Bila ibunya meninggal dan dia pula kena strok, barulah dia sedar wang bukanlah segala-galanya….!
“You don’t need one million to be Happy!” pesannya pada saya dan tidak pernah saya lupakan.
Jadaikan perniagaan berjaya dengan nasihat saya di atas. Jika anda lakukannya, saya pasti anda kan berterima kasih pada saya satu hari nanti..kalau tak berterima kasihpun tak apa kerana tugas saya menyampaikan sudah selesai.

No comments:

Post a Comment